Darjah Tanda Kemuliaan & Kebesaran

Cetusan Ilham Oleh Almarhum Sultan Abu Bakar

Sultan Abu Bakar merupakan seorang raja yang berwibawa dan berkarisma. Baginda telah dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran hasil lawatan baginda keluar negara, yang sukar ditandingi oleh mana-mana pemerintah di Asia dalam abad ke-19. Pengalaman baginda menjelajah negara asing, memberi peluang kepada baginda melihat cara dan jenis darjah pengurniaan yang dianugerahkan setimpal dengan jasa bakti bakal penerimanya. Pengalaman ini seterusnya mengilhamkan baginda untuk mengadakan darjah kebesaran Johor yang tersendiri yang mana Baginda juga turut mengurniakan darjah balasan kepada ketua-ketua negara yang dilawati bagi membalas penghormatan yang diberikan kepada baginda.

Darjah Tertua Di Malaysia

Rakyat Johor seharusnya berasa bangga atas kebijaksanaan dan pandangan jauh Almarhum Sultan Abu Bakar, dalam mengilhami dan menzahirkan dua darjah kebesaran, iaitu Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia secara serentak pada tahun 1886. Penzahiran darjah ini menjadikan negeri Johor lebih 30 tahun mendahului negeri- negeri Melayu lain. Sehingga hari ini, darjah-darjah ini kekal dan diiktiraf sebagai darjah yang tertua di Malaysia. Penzahiran Darjah merupakan usaha murni Sultan Abu Bakar membawa dan memimpin Johor kearah pemodenan. Pesanan Almarhum Sultan Abu Bakar kepada raja-raja selepas baginda sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 53 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh, ialah: “Janganlah diperbuat, dijadi dan diadakan sesuatu darjah lain dengan sebab semata-mata hendak membanyakkan dan menambahkan bilangan darjah sahaja dengan tidak difikirkan dengan cermat dan baik adakah berguna dan berkehendak dijadikan yang baru kerana banyak bilangan dan terlalu banyak kelihatan dalam negeri akan menjadikan kurang mutu dan kurang harga semuanya”.

Penghargaan Kepada Pegawai-Pegawai Melayu Yang Berkaliber

Antara faktor yang mengilhamkan Almarhum Sultan Abu Bakar mengadakan darjah kebesaran itu adalah bagi menghargai jasa dan khidmat kerabat baginda dan pegawai-pegawai Melayu berkaliber dan setia. Pada tahun 1866, apabila pusat pentadbiran di Telok Belanga dipindahkan ke Johor Bahru, baginda menubuhkan sebuah Jumaah Menteri bagi mentadbir dan mengurus kerajaan. Baginda melantik para pengikut yang setia untuk menganggotai Jumaah Menteri yang ditubuhkan. Kumpulan cendiakawan ini bersama-sama berkorban masa, tenaga, dan idea mentadbir dan memajukan negeri Johor yang asalnya berupa kawasan hutan belantara hingga menjadi sebuah negeri yang maju dan bertamadun serta berjaya mengekalkan kemerdekaan negeri Johor daripada dijajah oleh British. Oleh kerana itu, sebagai menghargai jasa perkhidmatan dan taat setia mereka, Sultan Abu Bakar berhajat supaya pegawai-pegawai yang memegang jawatan bergelar, dikurniakan Darjah Mahkota Johor yang membawa gelaran Dato', sebagaimana berikut:

Timbal Balas Kepada Pemimpin Negara Asing

Selain itu, penzahiran darjah tersebut bertujuan bagi membalas anugerah kebesaran yang diterima oleh baginda daripada pemerintah negara-negara yang telah mengurnia darjah kepada baginda seperti England, Prussia, Itali, Turki,Persia, Austria, Mesir, China dan Jepun. Balasan dan kurniaan darjah kebesaran ini memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan baginda dengan negara-negara berkenaan yang secara langsungnya memberi faedah kepada rakyat jelata dan negeri Johor, terutamanya dalam urusan perdagangan dua hala.

Ditempah Dari London

Darjah-darjah kebesaran ini asalnya ditempah oleh baginda semasa mengadakan lawatan ke England pada atau sebelum tahun 1885 dengan Syarikat J.W. Benson, London, iaitu sebuah syarikat yang membuat peralatan diraja istana Inggeris.Darjah disiapkan pada tahun 1885 bersempena pengiktirafan baginda sebagai Sultan Johor melalui Perjanjian Setia. Walau bagaimanapun, pada tahun 1960 darjah-darjah ini ditempah pula dengan Syarikat Garrard of London, iaitu sebuah syarikat yang juga mempunyai hubungan dengan istana Inggeris. Namun demikian, mulai tahun 1994 hingga kini, semua darjah kebesaran tersebut ditempah dengan sebuah syarikat tempatan. Dalam aspek penempahan ini, reka bentuk, ukuran dan warna kekal tidak berubah sepertimana darjah yang ditempah pada tahun 1885.

Surat Watikah

Bagi setiap darjah yang diberikan disertai dengan 'Surat Watikah'. Surat ini ditandatangani oleh Raja dan Menteri Darjah diberikan kepada setiap ahli. Reka bentuk dan kandungan Surat Watikah ini tidak berubah sejak mula dikeluarkan, iaitu pada tahun 1886.