Sejarah Johor Moden

Dinasti Temenggong

Kesultanan Johor yang mewarisi kecemerlangan Kesultanan Melaka telah mengalami perubahan di bawah dinasti Bendahara, dinasti Temenggong, sehinggalah pemerintahan terkini. Salasilah membuktikan bahawa Temenggung adalah berdarah raja dan berketurunan daripada Bendahara Tun Abas.

Keturunan baginda, iaitu Temenggong Abdul Rahman yang telah dilantik sebagai Temenggong dengan gelaran Temenggong Seri Maharaja
telah memerintah dan mentadbir Tanah Besar Johor, Singapura dan pulau-pulau sekitarnya. Salasilah lengkap keturunan Kesultanan Johor adalah sebagaimana gambarajah berikut:



Sultan - sultan Johor Daripada Keturunan Tun Habib Abdul Majid Padang Saujana

Dato' Bendahara Sri Maharaja
1699 - 1719
Sultan Abdul Jalil Shah IV
Bendahara Tun Abas

Bendahara Seri Maharaja

Temenggong Tun Abdul Jamal

Temenggong Johor

Temenggong Tun Ibrahim (Daeng Kecil Daik)

Dato' Temenggong Engku Abdul Hamid

Temenggong Johor

Dato' Temenggong Abdul Rahman Sri Maharaja

Bersama Sultan Hussain Shah menanda tangan Perjanjian Singapura dengan Raffles dalam Tahun 1819

1855 - 1862
Dato' Temenggong Ibrahim (Daeng Ronggek)

Temenggong Singapura dan Johor selepas Perjanjian 1855 dengan Sultan Ali

1862 - 1895
Sultan Abu Bakar

Kemahkotaan 29 Julai 1886

1895 - 1959
Sultan Ibrahim

Kemahkotaan 2 November 1895

Perayaan Jubli Intan 1955

1959 - 1981
Sultan Ismail

Kemahkotaan 10 Februari 1960

1981 - 2010
Sultan Iskandar

Diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong ke VIII (1984 - 1989)

2010 -
Sultan Ibrahim
Tunku Ismail

Tunku Mahkota Johor

Budaya Istana Johor

Adat istiadat, amalan serta budaya istana Johor juga turut tidak terkecuali daripada mengalami perubahan ini dan berkembang seiring dengan peredaran masa, serta berdasarkan corak pemerintahan Kesultanan Johor. Terdapat beberapa ciri budaya asing seperti budaya barat, hindu, cina dan arab yang diserapkan ke dalam amalan dan budaya istana serta kehidupan harian orang Melayu. Namun begitu, hasil kebijaksanaan dan pandangan jauh sultan, nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu Johor masih tetap terpelihara. Sebagai contoh, amalan mengangkat sembah apabila berhadapan raja seperti yang dilakukan oleh penganut Hindu tidak lagi diikuti bermula zaman Temengong Ibrahim, sebaliknya digantikan dengan cara berdiri tegak, mencondongkan badan ke hadapan sedikit dan kepala ditundukkan dari leher sambil kedua-dua tangan lurus ke bawah.

Pengaruh Barat

Cara yang ringkas dan berdisiplin ini dipadankan dengan budaya dan amalan Istana Inggeris dan Eropah yang diteruskan dibawah legasi Temenggong Abdul Rahman Ibini Almarhum Dato Temenggong Abdul Hamid. Setelah beliau berpindah dari Riau ke Singapura pada tahun 1811, beliau banyak bercampur gaul dengan masyarakat inggeris yang bekerja dengan Syarikat Hindia Timur (The East India Company) dan dari situ bermulalah penerapan pengaruh barat dalam urusan-urusan sistem pentadbiran dan pengurusan perniagaan sehinggalah ianya diteruskan oleh Temenggung Daeng Ibrahim.

Pusat Perdagangan

Tahun 1818 turut menyaksikan Temenggong menandatangani perjanjian dengan William Farquhar, yang membenarkan British tinggal di pulau itu. Pada 30 Januari 1819, Temenggong dan Raffles menandatangani satu lagi perjanjian yang membenarkan Syarikat Hindia Timur (East India Company) menyewa tanah bagi mendirikan gedung perniagaan dan mengibarkan bendara Union Jack. Pihak British pula, sebagai balasannya, membayar geran tahunan sebanyak $3,000 serta memberi perlindungan kepada Temenggong dan pengikut-pengikutnya.Namun begitu, budaya dan aspek Bahasa melayu masih kekal digunakan sebagai bahasa perantara bagi tujuan perdagangan , malah tulisan jawi turut digunakan dalam dokumen perjanjian.

Dinasti Sultan Abu Bakar

Semasa zaman Almarhum Sultan Abu Bakar pula, baginda telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam amalan istana melayu dan masyarakat melayu, hasil daripada lawatan baginda ke Eropah dan negara-negara lain. Baginda merupakan Raja Melayu pertama yang berangkat ke England, iaitu pada 22 Mac 1866, selepas itu baginda berangkat sebanyak 6 kali ke England, kemudian antara tahun 1878 – 1890 beliau ke Itali, Prussia, Peranchis, Switzerland, Mesir, Greece dan Turki. Baginda turut melawat Indonesia, China dan Jepun pada tahun 1873 dan India pada 1875. Tujuan lawatan baginda adalah untuk mendapatkan sokongan daripada Ratu Inggeris dan memperkenalkan Johor kepada dunia dan mempelajari perkara-perkara yang boleh dimanfaatkan untuk negeri dan rakyat baginda. Hasil lawatan baginda, perlbagai unsur budaya barat khasnya dari Istana Inggeris seperti senibina, sistem pentadbiran, perundangan, perdagangan, pedidikan, pengangkutan, darjah dan tanda kebesaran, mahkota dan peralatan istiadat kerajaan, pakaian, etika dan peraturan istana diperkenalkan di Johor.

Perjanjian Setia 1885

Pengaruh baginda telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Setia dengan British pada 11 Disember 1885, antara lainnya telah mengiktiraf Johor sebagai sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat. Persetiaan itu juga memberi pengiktirafan dan gelaran kepada baginda sebagai Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Johor dan Segala Jajahan Takluknya, status dan gelaran yang digunakan oleh Sultan Johor hingga kini.

Sejarah Masjid Temenggong, Singapura

Almarhum Sultan Abu Bakar juga terkenal dengan ketabahan dan kecerdikannya yang dapat mempengaruhi British supaya Telok Belanga kekal menjadi milik Johor. Baginda telah memeterai satu perjanjian dengan Gabenor Orfem Cavanagh dan melepaskan tuntutan ganti rugi $15,000 dengan syarat British bersetuju menyerahkan Telok Belanga kepada baginda. Surat pindah hak milik kekal 999 tahun diserahkan kepada baginda pada 15 Ogos 1864 dengan bilangan pendaftaran 2118. Sebuah masjid didirikan di atas tapak di lereng bukit. Sehingga kini Telok Belanga kekal sebagai jajahan Johor dan bendera Johor dikibarkan di situ. Pegawai dan kakitangan Masjid Temenggong adalah kakitangan kerajaan Johor. Khutbah Jumaat dan "Doa Sultan" disediakan oleh Jabatan Mufti Johor. Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Ibrahim, serta tiga puluh dua kerabat diraja dimakamkan di Makam Temenggong, di dalam kawasan masjid. Pada tahun 1996, Almarhum Sultan Iskandar menamakan masjid itu sebagai Masjid Temenggong.