Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menegaskan konsep Bangsa Johor yang diperkenalkan semula baginda bertujuan menyatukan semua rakyat Johor, bukan untuk memecah belahkan mereka.Baginda bertitah, konsep Bangsa Johor juga bukan satu perkara baru, sebaliknya ia sudah diilhamkan sejak zaman nenda baginda Almarhum Sultan Sir Ibrahim yang bertujuan menyatukan semua rakyat Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ia terbukti berkesan hingga kini.
Menurutnya, pada sekitar 1800-an, etnik Cina, India dan Jawa sudah dipelawa oleh Almarhum nendanya Sultan Sir Abu Bakar dan Temenggung Daeng Ibrahim untuk bersama-sama dengan orang Melayu mencari masa depan di Johor.Katanya, ketika itu, semua kaum bekerja keras meneroka tanah dan membina negeri daripada hanya sebuah hutan belantara dengan bilangan penduduk yang masih kurang kepada apa yang dapat dilihat pada hari ini, malah lebih daripada itu, konsep Bangsa Johor juga masih kekal relevan hingga kini.
“Konsep Bangsa Johor masih kekal relevan hingga hari ini terutama selepas melihat kepada isu mengenai polarisasi kaum yang semakin meningkat secara berterusan. Bangsa Johor bermaksud semua orang bertanggungjawab untuk membangunkan Johor di samping menghormati budaya dan agama masing-masing kerana kita mahu setiap orang hidup dalam aman dan makmur. “Negeri lain boleh melihat dan mencontohi Johor. Sebagai contoh, bagaimana kita meningkatkan perpaduan antara kaum kerana tujuan kita mulia dan ramai orang sudah menyatakan hasrat untuk tinggal di Johor dan menjadi sebahagian daripada Johor,” titah baginda dalam pertemuan eksklusif di Istana Pasir Pelangi.
Menurut baginda, sementara berbangga mengaku sebagai Bangsa Johor, tidak bermakna mengetepikan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. “Ketika di luar negara, jika ada sesiapa bertanyakan saya dari mana, saya tetap bangga memberitahu dari Malaysia dan saya tak kata saya Bangsa Johor kerana sebahagian mereka mungkin tidak tahu yang Johor itu sebahagian daripada Malaysia.“Kita tidak ada niat buruk atau agenda tersembunyi. Niat kita masih untuk kebaikan Malaysia kerana jika saya ada peluang untuk menyatukan rakyat Malaysia, maka saya akan terus melakukannya,” katanya.
Baginda bertitah, setiap negeri adalah unik dan memiliki keistimewaan tersendiri, sejarah tersendiri, budaya dan makanannya. “Begitu juga Johor mempunyai senarai panjang budaya dan tradisinya sendiri seperti Laksa Johor, Baju Melayu Teluk Belanga, Zapin dan Ghazal. Saya rasa setiap negeri mesti ada identitinya sendiri dan kita sepatutnya meraikan perbezaan itu dan ini yang menjadikan Malaysia cukup istimewa,” katanya. Menurutnya, disebabkan konsep Bangsa Johor membolehkan Johor menikmati seperti apa yang dapat dilihat pada hari ini, semangat Bangsa Johor bukan hanya pada perkataan, sebaliknya kita perlu menjaga Johor dan bertanggungjawab membangunkannya.
“Maka itu, kita menyediakan skim perumahan Rumah Johor, satu projek di bawah Yayasan Sultan Ibrahim, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan. Kita sudah mendapat sokongan daripada bank-bank bagi memastikan rakyat Johor mendapat rumah terbaik dengan harga terendah. “Kita juga bercadang menjadikan Bank of Johor sebagai sebuah bank komersial dengan mengikut model Bank Rakyat dengan matlamat untuk menyediakan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.Selain itu, menurut baginda, projek kereta api laju Maglev juga masih mengikut jadual.
Baginda bertitah, setiap kali ada pelabur dalam dan luar negara yang mahu melabur di Johor, baginda biasanya akan segera meminta mereka menyalurkannya kepada projek-projek yang mampu memberi faedah kepada rakyat Johor dan baginda akan membantu mereka. “Sebuah syarikat sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan projek Maglev di Johor dan ia tiada kaitan dengan projek Kereta Api Laju (HSR). “Projek ini akan menghubungkan Johor Bahru, Pasir Gudang, Kempas, Iskandar Puteri dan beberapa kawasan lain. Kita juga sedang mengkaji kemungkinan Maglev turut memasuki Singapura bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor setiap hari,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan parti politik baru diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memecahbelahkan orang Melayu, baginda menegaskan betapa raja-raja Melayu berada di atas daripada politik dan baginda tidak akan mencampuri hal ehwal politik. “Saya di sini, mahu menyatukan semua Bangsa Johor dan bukan sebaliknya. Itu saya yang saya mahu cakapkan,” kata baginda mengakhiri temubual berkenaan.