Dalam sejarah Kesultanan Melayu, mahkota adalah sinonim dengan lambang kebesaran dan kedaulatan raja, iaitu kedudukan di mercu kuasa bagi memberi perlindungan kepada rakyat. Pada tahun 1885 Maharaja Abu Bakar yang diiktiraf sebagai Sultan Johor mengilhamkan supaya diadakan sebuah mahkota bagi dirinya dan untuk diwarisi sultan-sultan Johor selepas baginda. Tindakan Sultan Abu Bakar merupakan satu inovasi dan pembaharuan simbolik untuk memajukan negeri Johor dan dalam masa yang sama mendahului negeri-negeri lain. Tindakan ini adalah satu keputusan yang berani mengubah tradisi istiadat dan kedaulatan raja-raja Melayu. Mahkota Johor merupakan puncak kejayaan Sultan Abu Bakar yang sabar menunggu selama 23 tahun selepas menaiki takhta untuk diiktiraf sebagai sultan. Baginda merasakan taraf baginda sebagai Temenggong, Sri Maharaja dan kemudian Maharaja belum cukup memberi legitimasi untuk memerintah Johor. Mahkota Kerajaan Johor diperbuat oleh Syarikat J.W. Benson, London merupakan firma yang membuat barang kemas untuk istana Inggeris ketika itu. Mahkota itu dipadankan daripada mahkota British bernama "King Edward's Crown" tetapi diubah suai mengikut cita rasa dan kehendak Sultan Abu Bakar. Baginda berkehendakkan lambang salib yang ada pada mahkota asal tidak digunakan dan diganti dengan lambang dan tanda Islam seperti bulan sabit dan bintang. Baginda juga berkehendakkan kalimah "Allah" dan "Mohamad" diadakan menyambung empat bintang pecahan lima pada mercu mahkota, memberi makna baginda menjunjung tinggi agama Islam yang menjadi agama rasmi negeri Johor. Mahkota itu diperbuat daripada logam yang berharga bertatahkan dengan batu permata yang berbeza ukuran dan bentuk, antaranya enam biji berlian besar, tiga biji batu delima merah, empat batu zamrud besar, dan empat biji batu nilam biru besar. Balang mahkota sahaja mengandungi 1450 biji berlian kecil. Bulan dan bintang bersalut dengan berpuluh berlian kecil yang bergemelapan.
Sultan Abu Bakar turut mengadakan sebuah Mahkota Permaisuri (Diadem), untuk digunakan oleh suri baginda. Dalam tahun 1925 Sultan Ibrahim berkenan mengubah dan memperbaiki Mahkota Permaisuri dengan mengadakan lima biji berlian besar, setiap satu 18 karat. Baginda menambah kepada regalia itu dengan mengadakan seutas rantai atau kalung mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara diperbuat daripada emas putih bertatahkan berlian.
Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri digunakan dalam dua istiadat sahaja dengan titah perkenan raja. Pertama adalah dalam istiadat kemahkotaan di mana Mufti meletakkan mahkota di hulu (kepala) sultan dan sultanah dengan bacaan selawat Nabi dan diikuti dengan doa. Istiadat kedua ialah di mana mahkota diletakkan oleh bakal raja di atas keranda diraja semasa majlis penghormatan terakhir sebelum pemakaman. Raja atau Waris meletakkan Mahkota Permaisuri di atas keranda yang mengandungi jenazah sultanah. Mahkota disimpan sebaik sahaja majlis tamat. Kedua-dua mahkota dan lain-lain barang kemas kerajaan yang menjadi sebahagian peralatan regalia disimpan di Bank Negara Malaysia, cawangan Johor Bahru.
Bendera merupakan salah satu peralatan istiadat yang menjadi simbol ketuanan negeri dan kuasa raja Kesultanan Johor. Ia juga berfungsi bagi membangkitkan semangat patritiotisme rakyat kepada raja dan negeri.
Warna bendera bagi negeri Johor mempunyai maksud tertentu. Warna putih adalah warna bagi raja yang memerintah (sovereign), merah bagi bakal raja (heir), kuning bagi kerabat raja (royalty). Sultan Abu Bakar memilih warna biru sebagai warna alam dan menjadikan warna biru langit (sky blue atau royal blue) sebagai warna raja yang memerintah, dan warna biru laut (navy blue) bagi rakyat dan kerajaan.
Bendera peribadi warna putih yang digunakan oleh Sultan Hussain dikekalkan oleh Temenggong Ibrahim. Sultan Abu Bakar juga mengekalkan bendera tersebut, walaubagaimanapun pada tahun 1871, baginda membuat tambahan dengan memasukkan lambang bulan sabit dan bintang pecahan sembilan berwarna biru (royal blue) di tengah-tengah bendera itu.
Bendera Johor kesemuanya berjumlah 21 dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan. Pertama merupakan kumpulan bendera berkenaan dengan raja. Bendera dalam kumpulan ini terdiri daripada lapan bendera, iaitu bendera peribadi Sultan, Sultanah, Tunku Mahkota, Tunku Bendahara, Tunku Temenggong, Kerabat Diraja, Pengiring Raja dan Bendera Istiadat.
Kedua, kumpulan terdiri daripada tujuh bendera yang berkenaan negeri, iaitu Bendera Negeri, Bendera Rakyat (Bendera Perniagaan), Bendera Askar Johor, Bendera Jabatan Laut dan Tetunggal Jabatan Laut, Bendera Polis dan Bendera Kapal Kerajaan.
Ketiga, kumpulan enam bendera yang berkenaan pegawai kerajaan, iaitu terdiri daripada Bendera Pemangku Raja, Bendera Menteri Besar, Bendera Pemerintah Askar Johor, dan Bendera Pesuruhjaya Kerajaan Muar, Batu Pahat dan Endau (sekarang Segamat). Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim pernah melantik Menteri Besar Dato' Jaafar Mohamad sebagai Pemangku Raja, itulah sebabnya Bendera Pemangku Raja diletak di bawah bendera pegawai kerajaan.
Peralatan istiadat Johor antara lain adalah cogan yang dipadankan dengan tradisi zaman pemerintahan Kesultanan Melaka. Cogan melambangkan identiti seorang raja yang memerintah. Mengikut tradisi, cogan mendahului perarakan raja. Tradisi ini sama dengan tradisi oleh pahlawan dan raja-raja Barat, khasnya dalam masa peperangan. Sultan Abu Bakar yang berpandangan jauh telah mencipta dua cogan, iaitu Cogan Agama dan Cogan Alam. Sultan Abu Bakar mempeloporinya sebagai tanda Islam mula dianuti berzaman lamanya sebelum baginda. Sultan Abu Bakar berpendapat perlunya diadakan satu lambang yang menunjukkan agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan baginda. Langkah ini merupakan usaha murni Sultan Abu Bakar yang bijaksana dalam memaktubkan Islam sebagai agama rasmi ke dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan 1885.
Cogan Agama diperbuat daripada emas, berbentuk bujur daun sirih dan mempunyai identiti sejarah tempatan. Bentuk ini ialah simbol daun lada hitam yang menjadi teras ekonomi Johor ketika itu. Cogan ini berukuran 0.6 meter (dua kaki) di bahagian yang paling lebar dan terletak di atas sebatang tongkat perak berukuran 1.8 meter (6 kaki). Di tengah muka Cogan Agama terdapat ejaan nama "Allah" dan "Muhammad" di bawahnya dalam tulisan Jawi. Di bahagian bawah tulisan "Muhammad" juga ditulis dalam tulisan Jawi perkataan "Kepada Allah Berserah". Ukiran gambir dan lada hitam menghiasi di sekeliling cogan itu. Simbol mahkota dan bulan bintang yang diukir menunjukkan lambang kędaulatan raja. Cogan Agama diberi keutamaan dengan menempatkannya di bahagian depan di sebelah kanan bagi mendahului perarakan istiadat diraja.
Satu lagi cogan yang dinamakan Cogan Alam atau dahulunya dikenali juga sebagai Cogan Raja yang ditempatkan bahagian depan di sebelah kiri. Cogan yang berbentuk anak bulan dan bintang pecahan lima, diperbuat daripada emas, berukuran 30.48 sentimeter (1 kaki) dan ditatang oleh tongkat setinggi 1.8 meter (6 kaki). Simbol bulan bintang memberi tafsiran bahawa Sultan Abu Bakar dan kerajaan Johor menjunjung dan mendaulatkan agama Islam dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Nama baginda yang diukir di atas cogan bertujuan memberi makna supaya rakyat akan sentiasa mengenang dan menghormati baginda sebagai pengasas negeri Johor moden.
Almarhum Sultan Abu Bakar menjadikan dua bilah keris, iaitu Keris Darjah Kerabat dan Keris Darjah Mahkota sebagai tambahan kepada sebilah keris pusaka. Keris pusaka yang tidak diketahui asal usulnya, berukuran 43.18 sentimeter (17 inci) panjang, dan mempunyai 11 lok ini dikatakan diperbuat dalam kurun ke-15. Keris ini tidak lagi menjadi peralatan kerajaan dan disimpan di Muzium Diraja Abu Bakar. Tujuan Sultan Abu Bakar menonjolkan dua bilah keris di atas bagi menandakan pembaharuan yang dihajati baginda bagi negeri yang moden. Pada mata Keris Darjah Kerabat diukir dengan cogan kata "Muafakat itu Berkat", manakala cogan kata “Kepada Allah Berserah" diukir pada mata Keris Darjah Mahkota menggunakan tulisan Jawi. Kedua-dua keris bertatahkan simbol mahkota kecil yang diperbuat daripada intan. Sampirnya mempunyai corak yang bercogan kata. Sampir Keris Darjah Kerabat diukir dengan lambang awan larat daun lada hitam dan gambir, yang menunjukkan kekuasaan dan kewibawaan kerabat raja Johor. Sampir keris Darjah Mahkota diukir dengan lambang harimau.
Pada masa dahulu, lembing dijadikan alat senjata bagi mengawal keselamatan raja semasa perarakan. Fungsi lembing sekarang ialah sebagai lambang kekuasaan raja, tetapi masih ditempatkan di hadapan perarakan. Terdapat 16 batang lembing istiadat dan setiap satu berukuran 2.14 meter (7 kaki 5 inci) tinggi, bermata runcing dan berlok tujuh. Mata lembing diperbuat daripada bahan besi waja dilorek dengan motif daun lada hitam dan gambir, serta simbol bulan bintang yang membawa erti Islam sebagai agama rasmi negeri. Lembing yang tidak berambu ini dipanggil Lembing Istiadat.
Almarhum Sultan Abu Bakar menjadikan dua Payung Besar dan dua Payung Kechil sebagai lambang tradisi memberi perlindungan kepada raja. Tidak seperti negeri lain, paying istiadat Johor berwarna putih, iaitu warna raja yang memerintah. Payung Besar berukuran 2.1 meter (83 inci) dan Payung Kecil 1.8 meter (71 inci). Kedua-duanya diperbuat daripada kain sutera putih yang bertekatkan lambang Mahkota Kerajaan. Batang payung diperbuat daripada perak. Di puncak payung terterap pendua Mahkota Kerajaan.
Pada masa dahulu, lembing dijadikan alat senjata bagi mengawal keselamatan raja semasa perarakan. Fungsi lembing sekarang ialah sebagai lambang kekuasaan raja, tetapi masih ditempatkan di hadapan perarakan. Terdapat 16 batang lembing istiadat dan setiap satu berukuran 2.14 meter (7 kaki 5 inci) tinggi, bermata runcing dan berlok tujuh. Mata lembing diperbuat daripada bahan besi waja dilorek dengan motif daun lada hitam dan gambir, serta simbol bulan bintang yang membawa erti Islam sebagai agama rasmi negeri. Lembing yang tidak berambu ini dipanggil Lembing Istiadat.
Dua buah cokmar juga dijadikan sebagai peralatan istiadat. Cokmar Kerajaan dinamakan Cokmar Dato' Penghulu Biracana, diperbuat daripada perak dan berukuran 1.4 meter (empat kaki sembilan inci), dilorek dengan awan larat yang bermotifkan lada hitam dan gambir serta bulan bintang dan Mahkota Kerajaan. Cokmar Dato' Penghulu Istiadat adalah lebih pendek dan pada kepalanya terterap pendua mahkota. Kedua-dua cokmar ini ditanggung di atas bahu kanan pembawanya dalam setiap istiadat diraja, dan mengepalai segala peralatan istiadat.
Selain dua Tongkat Penolong Penghulu Istiadat, terdapat lapan batang lagi tongkat panjang berukuran 1.4 meter (empat kaki sembilan inci). Tongkat ini diperbuat daripada rotan berikat perak. Awan larat yang diukir cogan kata yang serupa dengan Tongkat Penolong Penghulu Istiadat turut diukir pada bahagian peraknya.
Kerajaan Johor pernah menghadiahkan sebilah pedang untuk dijadikan Pedang Kerajaan kepada Almarhum Sultan Ibrahim pada tahun 1935, sempena empat puluh tahun baginda di atas takhta kerajaan. Pedang tersebut ditempah khas dengan Syarikat J.W. Benson, London. Hulu pedang ini diperbuat daripada gading yang diukir awan larat bersalut emas, ditatah dengan simbol Mahkota Kerajaan dan monogram Sultan Ibrahim. Sarung pedang itu diukir dengan Jata Kerajaan yang diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar. Turut diukir ialah symbol Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota. Sebelah mata pedang yang diperbuat daripada besi waja tertulis kalimah Jawi “Alwathik Billah Al-Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar 1313". Pedang ini digunakan sebagai sebahagian daripada pakaian istiadat Sultan Johor sehingga sekarang.
DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan diadakan sebilah pedang kerajaan ditempah khas untuk Istiadat Kemahkotaan Baginda pada 23 Mac 2015.
Istana Johor mempunyai 7 bilah pedang kerajaan: