Wawasan Temenggong

Disegani Oleh Orang British

Temenggong Daeng Ibrahim Iskandar merupakan seorang raja yang mempunyai perwatakan yang disegani oleh British. Baginda berpandangan jauh, berwawasan serta mempraktikkan pengurusan moden. Baginda juga menyedari hakikat bahawa Johor boleh menjadi lebih maju dengan syarat rakyat mempunyai ilmu pengetahuan, khasnya menguasai bahasa Inggeris, berinovasi serta mempunyai pengaruh Barat. Temenggong Ibrahim mula belajar Bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh daripada Gabenor Samuel George Bonham dan pegawai-pegawai Syarikat Hindia Timur (East India Company). Baginda juga cenderung belajar selok-belok pengurusan perniagaan dan sistem pentadbiran negeri.

Mahir Berbahasa Inggeris

Sebagai langkah memastikan supaya Johor terus maju pada masa hadapan, baginda menentukan paduka anakandanya, Wan Abu Bakar mendapat pelajaran Melayu dan pelajaran agama. Baginda kemudiannya menghantar Wan Abu Bakar ke sekolah Inggeris Keasberry, sebuah sekolah persendirian yang dipelopori seorang paderi Katolik, Benjamin Keasberry di Telok Belanga. Baginda juga menghantar anak-anak pengikut baginda yang setia, antaranya ialah Jaafar bin Mohammad, Ibrahim Abdullah Munshi, dan Mohamad Salleh bin Perang untuk mempelajari bahasa Inggeris di sekolah yang sama, di samping menemani dan mengiringi Wan Abu Bakar.

Digelar Prince Of Pirates

Temenggong mengambil Tindakan sendiri bagi membuktikan baginda boleh mentadbir dengan berdikari dan tidak mengharapkan bantuan British. Langkah awal dan bijak yang diambil oleh baginda ialah memastikan Kawasan perairan berada dalam keadaan selamat bagi membolehkan para pedagang datang berdagang dengan yakin tanpa dihantui rasa takut dan terancam. Dalam hal ini, baginda mengumpulkan pengikut setianya dan melancarkan peperangan bagi menghapus lanun dan perompak di perairan Singapura dan Riau. Usaha Temenggong ini berjaya membanteras lanun dan menjadikan perairan Riau dan Singapura selamat dan kegiatan perdagangan terus maju tanpa gangguan.

Mendapat Pengiktirafan Ratu Victoria

Pada 9 Ramadan 1262 (tahun 1846), Pihak British, iaitu Ratu Victoria merestui dan menghargai kejayaan Temenggong membenteras kegiatan lanun dengan menghadiahkan sebilah pedang berwarna keemasan. Anugerah ini disampaikan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Kolonel John William Butterworth dalam satu majlis penuh istiadat di Colonial House, Fort Canning dengan disaksikan oleh Sultan Johor, Sultan Lingga dan Sultan Riau sebagai membalas budi dan menghargai jasa Temenggong sehingga mendapat gelarah Prince of Pirates. Pengiktirafan ini membantu baginda turut menerima penghormatan daripada pemerintah Riau dan raja-raja Melayu yang lain. Pada 31 Ogos 1846, baginda diangkat dan ditabalkan sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Dato’ Temenggong Seri Maharaja.

Pemerintah De Facto Tanah Besar Johor

Pada 10 Mac 1855, Sultan Ali menyerahkan keseluruhan Kerajaan dan Negeri Johor (kecuali jajahan Kesang) kepada Temenggong Daeng Ibrahim melalui satu perjanjian perdamaian yang ditandatangani dengan balasan wang ehsan yang diterima sebanyak $5000 dan bayaran bulanan sebanyak $500 bai tempoh selama-lamanya berkuatkuasa dari 1 Januari 1855. Temenggong dan pengikutnya berlayar menuju ke tanah besar Johor dan mendarat di Tanjung Puteri. Baginda mengibarkan Bendera Johor sebagai simbol ketuanan dan penaklukan di atas Bukit Bendera yang kemudiannya dikenali sebagai Bukit Temenggong dan sekarang sebagai Bukit Timbalan. Baginda telah memerintahkan supaya dibina beberapa bangunan untuk ditempatkan pejabat bagi menguruskan pentadbiran termasuk pejabat cukai dan pejabat polis serta kediaman untuk kakitangan. Baginda menamakan penempatan tersebut Iskandar Puteri. Pada 1 Januari 1866, Sultan Abu Bakar kemudiannya menukar nama tersebut kepada Johor Bahru dan kekal sehingga ke hari ini.

Mempelopori Pentadbiran Tanah

Temenggong Ibrahim mempraktikkan inovasi bagi mentadbir negeri, khasnya dalam bidang pembangunan tanah. Baginda mempelopori dengan memperkenalkan sistem “Surat Sungai” dalam kalangan Kangchu atau ketua sungai, bagi menentukan peladang Cina memajukan kawasan mereka dan membayar cukai yang perlu, termasuk cukai candu dan judi, serta mengawal dan mentadbir keselamatan mereka. Surat Sungai ini adalah permulaan bagi terlaksananya sistem pegangan hak milik yang berkuatkuasa sehingga masa kini.

Sistem Pajakan Atau ‘Kangchu’

Sultan Abu Bakar menggunakan kebijaksanaan baginda untuk mendapatkan kerjasama erat daripada orang-orang Cina yang dibawa masuk bagi mengusahakan pertanian lada hitam dan gambir. Seperti Temenggong Ibrahim, baginda terus menaungi orang-orang Cina yang merintis pertanian ladang secara komersial di bawah satu sistem pajak yang dikenali sebagai sistem Kangchu. Melalui sistem ini, Sultan Abu Bakar berjaya mengawal ekonomi dan politik orang-orang Cina dengan lebih berkesan. Baginda melantik dua orang ketua masyarakat Cina, iaitu Major Cina Tan Hiok Nee Kangchu Tebrau dan Kapitan Cina, Seah Thye Heng, Kangchu Sekudai ke dalam Dewan Negeri dan mengiktiraf kongsi Ngee Heng sebagai badan yang menyatukan kaum itu, di samping membanteras kegiatan kongsi gelap. Selain membenarkan orang Cina memasuki dan menjalankan perusahaan pertanian.

Awan Larat Motif Lada Hitam Dan Gambir

Johor merupakan pengeluar gambir dan lada hitam yang terbesar suatu pada ketika dahulu. Sultan Abu Bakar yang mempunyai wawasan untuk memajukan rakyat dan negeri mengabadikan peranan yang dimainkan sumber hasil pertanian ini dengan menjadikan motif lada hitam dan gambir tersebut sebagai awan larat pada semua peralatan istana dan kerajaan. Sehingga hari ini, awan larat daun gambir dan lada hitam dilorek sebagai hiasan di bangunan, kad jemputan, kepala surat, kulit luar buku program istiadat, kulit luar dan muka dalam buku surah Yasin dan lain-lain bahan percetakan. Awan larat itu juga menghiasi peralatan jamuan istana termasuk pinggan mangkuk, sudu garpu, cawan dan gelas. Motif awan larat daun gambir dan lada hitam dalam warna kuning keemasan menghiasi permaidani biru di dalam Bilik Singgahsana dan Bilik Persemayaman Istana Besar dan ruang istana yang lain. Permaidani biru di dalam pesawat jet peribadi tuanku juga dihiasai dengan motif yang sama. Selain itu, motif ini juga digunakan bagi menghiasi permaidani di masjid jamek termasuk masjid Sultan Abu Bakar dan masjid Pasir Pelangi. Kebelakangan ini motif daun gambir dan lada hitam diperbuat daripada kerawang besi menghiasi tiang lampu jalan di bandar-bandar Johor bagi mengabadikan warisan negeri ini.